My KoHort4

Saturday, July 13, 2019

PULAU PERHENTIAN… AKU DATANG LAGI!

Assalamualaikum wbt. 

Salam keceriaan dan salam bahagia buat pembaca-pembaca di laman blog ku. 

Nama aku Ayu Mastika. Panggil sahaja aku Ayu. Aku merupakan pekerja bank berjawatan kerani di Bank Rakyat dan juga seorang pelajar PJJ jurusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam di Universiti Utara Malaysia di Kuala Lumpur.

Di ruangan entry ini aku ingin berkongsikan pengalaman aku bercuti di pulau ‘favourite’ aku iaitu Pulau Perhentian, Terengganu. Untuk pengetahuan pembaca semua, aku mula menjejaki Pulau Perhentian sejak tahun 2010 sehingga sekarang tahun 2019 dan aku masih bercuti di pulau itu. Bagaimanapun, pada tahun 2017 dan 2018 aku 'skip' daripada bercuti di pulau tersebut kerana pada tahun berkenaan aku baharu bersalin dan anak aku Iris Ariana masih kecil untuk dibawa cuti bersama.

Apa Hebatnya Pulau Perhentian
Pulau Perhentian merupakan antara pulau tercantik yang terdapat di Malaysia. Kenapa pulau ini cantik sebab ia terletak di kawasan Laut China Selatan. Pulau Perhentian ini air lautnya bersih dan berwarna biru. Bila ambil gambar memang cantik hasilnya kerana pemandangan di sekitar pulau begitu indah.

Pulau Perhentian terbahagi kepada dua pulau iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Di Pulau Perhentian Besar ada banyak resort-resort dan sangat sesuai untuk percutian bersama keluarga. Tetapi bagi aku, menginap di Pulau Perhentian Kecil lagi seronok kerana aktiviti waktu malam lebih ‘happening’ dengan pelbagai hiburan seperti mini bar, muzik pantai dan tarian bara api. Pulau Perhentian Kecil ini lebih dikenali sebagai Long Beach.
Lihat pemandangan laut biru Pulau Perhentian yang aku ambil dari puncak bukit Kincir Angin. Menarik kan

Percutian Kali Ke-8
Tak sangka selepas dua tahun tidak jejak kaki ke Pulau Perhentian, pada 20 April 2019 lalu aku sekali lagi berpeluang bercuti bersama suami dan anak ke pulau ini. Untuk pertama kalinya aku membawa anak menaiki bot untuk ke pulau. Nasib baik sepanjang perjalanan 45 minit dari Jeti Kuala Besut ke Pulau Perhentian Kecil, Iris ‘behave’ dan tidak meragam. Nampak Iris seronok dapat naik bot.

Sampai sahaja di Pulau Perhentian Kecil, kami sekeluarga memilih untuk menginap di Ombak Resort selama 4 hari 3 malam. Untuk pertama kali juga aku memilih menginap di resort berhawa dingin dan selesa. Maklumlah ada anak kecil jadi perlu lebih prihatin terhadap keselesaan anak.

Pada waktu petang di hari pertama di Pulau Perhentian, aku dan suami membawa Iris bermandi-manda di sekitar persisiran pantai. Kami sekadar berjalan dan mencuci mata sahaja untuk hari ini memandangkan badan terasa amat penat setelah semalaman perjalanan di atas bas dari Kuala Lumpur. Tenyata banyak perubahan di Pulau Perhentian sejak 2 tahun lalu di mana banyak resort-resort baharu dan mewah telah didirikan. Tidak kurang juga kemudahan yang disediakan di sekitar pulau juga semakin canggih.

Tengok tu Iris tak takut pun naik bos. 
 Seronok betul Iris dilambung oleh Abi
Family photo kami di depan Ombak Resort.

Menarik di Pulau Perhentian
Mengimbau masa lalu semasa zaman bujang sewaktu aku bercuti di pulau ini sangat menerujakan apabila dapat melakukan aktiviti bersama kawan-kawan. Waktu itu, aku dan kawan-kawan hanya menginap di chalet murah sahaja iaitu Chempaka Chalet. Memang murah sangat dengan hanrga RM50 sahaja untuk satu malam. Tetapi chalet ini lengkap dengan kipas, katil dan bilik air di dalamnya cuma tiada aircond.

Kebiasaannya pada hari pertama kami akan berjalan-jalan di sekitar pantai pada waktu petang bagi melihat pakej-pakej snorkeling yang disediakan. Kami akan membuat tempahan bot untuk aktiviti pada hari esok. Selalunya kami akan memilih bot yang besar dan beratap supaya lebih selesa sekiranya untuk duduk di atas air ketika singgah di pulau-pulau yang dilawati.

Keesokannya, seawal 9.00 pagi kami akan berkumpul dan menunggu bot snorkeling sampai untuk mengambil kami. Dalam pakej yang kami ambil, antara aktiviti yang akan dilakukan adalah snorkeling di 6 lokasi iaitu
🔹 Blue Lagoon
🔹 Turtle Point 
🔹 Coral Garden
🔹 Sharkpoint 
🔹 Kg Nelayan

Pada hari ketiga, kami bercadang untuk berjalan-jalan di sekitar pulau iaitu ke Kincir Angin. Ke lokasi ini kami perlu melakukan aktiviti ‘hiking’. Kami akan meredah hutan dan mendaki hingga ke puncak bukit. Lebih kurang 40 minit juga untuk sampai di atas sana. Memang penat dan mengah badan dibuatnya tetapi sampai sahaja di atas Kincir Angin tersebut, korang akan terasa puas dan hebatnya pemandangan yang terbentang. ‘View’ laut biru yang indah dari atas planta Kincir Angin akan buat korang lupa perjalanan ‘hiking’ sebentar tadi. Kemudian bermulalah aktiviti bergambar dan ‘posing’ sana sini. Seterusnya, kami akan melalui perjalanan ‘hiking’ semula untuk kembali ke chalet.

Tiba waktu makan malam, kami tidak perlu risau kerana di Perhentian Kecil ini terdapat restoran makanan sepajang persisiran pantai yang dibuka dari awal pagi sehingga jam 10 malam. Pilih sahaja mahu makan di kedai mana. Menu ‘seafood’ sudah pastinya menjadi pilihan segenap pengunjung untuk merasa makanan laut secara ‘BBQ’. Bagaimanapun, menu makanan seperti nasi goreng dan masakan Melayu turut disediakan.

Tepat jam 10 malam, ke semua restoran-restoran akan mula berkemas dan tutup. Seterusnya bermulalah kedai-kedai mini bar pula beroperasi. Kebanyakkan pelanggan mereka adalah pelancong ‘mat saleh’ yang akan setia menunggu hidangan minuman keras. Untuk pengunjung lain boleh turut serta melihat persembahan tarian bermain api dan juga muzik ala-ala disko akan turut dimainkan. Aktiviti tepian pantai ini akan berlarutan sehingga 3 ke 4 pagi. 
Saujana mata memandang

Bersama kawan-kawan aku di atas planta Kincir Angin. Kami bergambar kenangan selepas penat mendaki puncak bukit

Mengandung Pun Boleh
Pada tahun 2016 lalu, aku disahkan mengandung 2 bulan selepas 3 bulan mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah. Sebenarnya ‘planning’ untuk bercuti ke Pulau Perhentian telah dibuat awal lagi. Memandangkan sudah disahkan mengandung, nak tak nak, aku teruskan juga percutian ke pulau ‘favourite’ bersama suami tercinta. Sebelum bercuti, ramai yang nasihatkan aku supaya batalkan percutian kerana risau akan kandungan boleh terjejas. Tetapi memikirkan kehendak yang meluap-luap itu, aku teruskan juga kerana Wandi juga memberi keizinan.

Persediaan yang aku buat untuk bercuti ketika mengandung adalah bawa segala jenis ubat dan vitamin. Susu untuk ibu mengandung juga aku bawa stok sebanyak yang boleh supaya tidak terasa loya atau lemah sepanjang percutian nanti.

Semasa menaiki bot, ada perasaan risau kerana perjalanan 45 minit di atas bot yang terumbang-ambing dipukul ombak boleh membahayakan kandungan aku. Risau juga takut mabuk dibuatnya. Tetapi alhamdulillah sampai sahaja di pulau, rasa mual-mual langsung tiada.

Selepas kelahiran Iris pada April 2017, aku tidak dapat meneruskan aktiviti tahunan bercuti ke Pulau Perhentian. Begitu juga tahun berikutnya 2018 tidak mengizinkan aku menjejaki pulau tersebut kerana ketika itu Iris masih setahun dan aku berasa risau untuk membawa dia bersama.
Walaupun usia kandungan baru 2 bulan tetapi aku berjaya sampai di pulau favourite

Pulau Perhentian Selamanya
Memandangkan Iris sudah genap 2 tahun, jadi aku rancang untuk teruskan aktiviti bercuti di Pulau Perhentian setiap tahun. Sekiranya aku mengandung lagi, mungkin akan dipertimbangkan untuk bercuti pada tahun tersebut.

Bagi aku, sejak mengenali percutian pulau ini memang aku sangat-sangat sudah jatuh cinta dengan Pulau Perhentian. Keindahan pemandangan pulau ini yang membawa aku untuk terus mengunjungi pulau ini. Pulau Perhentian ada keunikannya yang tersendiri. Walaupun dah berbagai pulau aku pergi  tetapi tak sama seperti Perhentian.

Mungkin juga cinta aku mula berputik pada suami ketika kami pertama kali bersama kawan-kawan bercuti di pulau ini. Wandi yang kenalkan aku dengan pulau ‘favourite’ ini. Secara ritualnya pulau ini seperti sudah menjadi tempat keramat untuk kami berdua.

Kenangan Manis Kau dan Aku 
Takkan Terhapus 
Duri Ranjau Dalam Bercinta 
Lumrah Dunia

No comments:

Post a Comment